GLOBAL

Petugas kesihatan AS dikuarantin, terdedah Ebola

LINCOLN 30 DIS: Seorang petugas kesihatan Amerika Syarikat (AS) yang mungkin terdedah kepada virus Ebola ketika merawat pesakit di Republik Demokratik Rakyat Congo tiba di AS semalam dan dikuarantin di Nebraska.

Petugas yang belum menunjukkan sebarang gejala Ebola setakat ini itu akan dipantau selama dua minggu di Pusat Perubatan Universiti Nebraska (UNMC) di Omaha, kata pusat berkenaan dalam satu kenyataan.

Identiti pesakit juga tidak didedahkan atas alasan peribadi.

Gejala seperti demam dan sakit di bahagian perut mungkin akan muncul dalam masa tiga minggu selepas terdedah dengan virus maut itu, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit.

Sekiranya gejala mula menular, petugas berkenaan akan dipindahkan ke Unit Pembendunganbio Nebraska, salah satu unit khusus untuk merawat penyakit berjangkit di AS.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak Ebola di Congo adalah yang kedua terburuk pernah berlaku dan mengorbankan 356 orang daripada 585 yang dijangkiti sejak menular enam bulan lalu.

Pusat ini pernah merawat tiga pesakit yang terdedah dengan virus itu pada 2014 dan memantau beberapa lagi ketika penularan terburuk Ebola pada 2013 hingga 2016 di Afrika Barat dengan lebih daripada 28,000 kes disahkan.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :