NASIONAL

Petunjuk ekonomi sangat mengalakkan

SHAH ALAM, 31 DIS: Petunjuk ekonomi sangat menggalakkan dengan pelaburan langsung asing meningkat 250 peratus kepada RM49 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2018.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, eksport pula mencatat rekod apabila meningkat ke paras RM96.4 bilion.

Katanya, inflasi pula berada pada paras rendah iaitu 1.2 peratus dalam tempoh Januari hingga September lalu.

“Kita wajar mengambil perhatian bahawa keadaan ekonomi global menghadapi cabaran yang lebih teruk berbanding Malaysia

“Oleh itu, kita yakin jika rakyat bersatu padu, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang, kita akan menjadi kuat dan stabil sebagai sebuah negara dalam menangani semua cabaran ekonomi masa depan,” katanya dalam ucapan Tahun Baharu 2019 menerusi Facebook Kementerian Kewangan, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mahu memenuhi aspirasi rakyat sebaik mungkin dengan menambah baik skim kebajikan.

Guan Eng berkata, ia seperti Dana Perlindungan Kesihatan yang membolehkan individu dalam segmen B40 dimasukkan ke hospital kerajaan memohon pembayaran RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari setahun atau bersamaan RM700.

“Kesejahteraan ekonomi rakyat akan terus ditekankan dan kerajaan akan terus memberi bantuan kepada peneroka Felda, penoreh getah, dan mereka yang bekerja di bandar-bandar kecil dan bandar-bandar.

“Kami adalah kerajaan untuk semua warga Malaysia. Tahun baharu perlukan aspirasi baharu untuk semua, dan marilah kita bersama-sama menjadikan 2019 sebagai tahun untuk Malaysia pulih selain memberi cahaya harapan untuk anak-anak kita.

“Selamat Tahun Baharu 2019,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :