GLOBAL

Pilihanraya Bangladesh: Sheikh Hasina diramal menang besar

DHAKA 30 DIS: Rakyat Bangladesh keluar mengundi hari ini selepas kempen pilihan rayanya dicemar keganasan menyaksikan Perdana Menteri Sheikh Hasina cuba kekal untuk penggal ketiga berturut-turut berdepan musuh ketatnya Khaleda Zia, yang masih dipenjara.

Perkhidmatan internet mudah alih disekat menyaksikan kebanyakan jalan-jalan utama di ibu kota lengang kerana ramai yang pulang ke kampung untuk mengundi.

Difahamkan, berjuta-juta pengundi baru didaftarkan untuk mengundi dalam pilihan raya umum pertama paling sengit di negara Asia Selatan itu sejak sedekad lalu.

Pembangkang utama, Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) memboikot pilihan raya pada 2014 mendakwa ia tidak bebas dan adil.

Parti Liga Awami pimpinan Hasina yang menjanjikan ekonomi dan pembangunan yang lebih baik, dijangka akan menang.

BNP pula masih dihambat isu ketiadaan pemimpinnya, bekas Perdana Menteri Zia, 74, yang dipenjarakan sejak Februari lalu atas tuduhan rasuah.

Ia bagaimanapun berjaya menyatukan parti lebih kecil menerusi pakatan Barisan Perpaduan Nasional tiga bulan menjelang pemilihan, tetapi mendakwa penyokong dan calonnya berdepan serangan ganas dan penindasan, termasuk ditembak dan ditangkap aktivis parti yang memerintah semasa berkempen. Tentera turut dikerah di seluruh negara.

Parti pimpinan Hasina menafikan semua tuduhan dan sangat yakin bahawa rekod baik ekonomi negara itu akan membawa kemenangan buatnya dalam pilihan raya.

“Punca mengapa orang Bangladesh menyokong Liga Awami adalah sangat mudah, pembangunan dan peningkatan ekonomi,” kata anak Hasina, Sajeeb Wazed, kepada Reuters di kediaman rasmi perdana menteri pada malam tadi.

Pertumbuhan ekonomi tahunan di negara majoriti Islam dengan 165 juta penduduk itu meningkat kepada 7.8 peratus pada tahun kewangan 2017/18 berbanding 5.1 peratus ketika Hasina mula mengambil alih kuasa pada 2008/09.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :