SELANGORSUKANKINI

PKNS FC kekalkan 11 pemain musim 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 DIS: PKNS FC mengekalkan 11 pemain musim 2018, termasuk seorang pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan dengan lapan daripadanya berumur bawah 25 tahun.

The Red Ants dalam kenyataan berkata, langkah itu diambil berdasarkan perubahan landskap bola sepak Selangor dan Malaysia.

“Antara langkah wajar yang dirasakan perlu adalah dengan pemotongan bajet, termasuk gaji pemain yang ditetapkan secara siling.

“Bagaimanapun, kita tetap optimis kejayaan mampu dicapai dengan beberapa musim sebelum ini, PKNS FC beroperasi dengan bajet sederhana, asalkan pasukan diurus tadbir secara korporat dan profesional,” katanya.

Pemain yang dikekalkan adalah dua penjaga gol Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin (23 tahun) dan Tauffiq Ar Rasyid Johar (22 tahun) bersama empat pemain pertahanan Rodney Calvin Akwensivie (22 tahun), Mohamad Qayyum Marjoni Sabil (24 tahun), Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim (27 tahun) serta pemain senior, P Gunalan (37 tahun).

Barisan tengah pula menyaksikan tiga pemain dikekalkan iaitu K Gurusamy (29 tahun), Mohd Faizat Mohamad Ghazli (23 tahun) dan Muhammad Alif Haikal Mohd Sabri (23 tahun), sementara hanya Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (21 tahun) kekal selaku penyerang PKNS FC.

Pemain import yang dikekalkan pula adalah Romel Morales Ramírez yang berusia 21 tahun, manakala pemain serba boleh, Daniel Ting memilih untuk bersara dan berhijrah ke Australia.

Kredit Foto: Facebook PKNS FC


Pengarang :