SELANGOR

PKNS PREC sumbang RM22 ribu kepada Orang Asal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 DIS: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menyumbangkan RM22,000 dan barangan kelengkapan sekolah kepada lebih 200 komuniti Orang Asal di Bukit Bandaraya, Seksyen U11, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, program julung kali anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi PREC (PESCA) bertujuan menghulurkan bantuan kepada mereka kurang berkemampuan selain menyemai semangat kesukanan, kerjasama serta rasa syukur dalam kalangan ahli kelab terbabit.

“Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat ini dapat memberi pengisian baik buat ahli PESCA selain meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Program ini adalah salah satu daya usaha untuk kami memberikan bantuan kepada anak Orang Asal yang bakal memulakan sesi persekolahan pada 2019 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Persediaan Persekolahan Sempena Kayuhan Amal PESCA PREC kepada Komuniti Orang Asal Bukit Bandaraya di Dewan Orang Asli, di sini.

Sementara itu, Tok Batin, Kamal Bapak berkata, beliau berterima kasih kepada pihak PREC kerana sudi menghulurkan bantuan kepada komuniti Orang Asal di perkampungan terbabit.

“Ini antara sumbangan terbesar berbanding bantuan pernah diterima sebelum ini.

“Ia sedikit sebanyak dapat membantu lebih 200 penduduk Orang Asal menetap di perkampungan ini, sekali gus meringankan beban lebih 60 keluarga yang masih mempunyai anak bersekolah,” katanya.

Difahamkan, kayuhan amal itu bertujuan menggalakkan kakitangan PREC terutamanya untuk menjalani gaya hidup sihat dan meneruskan aktiviti itu pada masa akan datang.

Konvoi berbasikal sejauh enam kilometer dari SACC Walk ke Dewan Orang Asli Bukit Bandaraya itu disertai 30 peserta daripada ahli PESCA yang turut diiringi dua polis trafik, bantuan dari RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Kelab PESCA sentiasa proaktif dalam menganjurkan aktiviti sukan seperti ‘water rafting’, mendaki gunung, ATV, futsal, badminton, pingpong dan penglibatan dalam kejohanan sukan olahraga anjuran Kelab Sukan PKNS.

Program itu juga turut mendapat sokongan dan penajaan daripada Park Here Sdn Bhd dan syarikat luar seperti Limok Events, Innoart, Antara Bumi Resources, Purple Box Sdn Bhd, Mindalova Kreatif, Hasa Arkitek Sdn Bhd, Wan Home & Design, WRS Engineers Sdn Bhd, First Power Engineering & Services Sdn Bhd, Magenta Harmon Technologies Sdn Bhd.


Pengarang :