NASIONAL

PRK Cameron Highlands: Sivarraajh hilang kelayakan bertanding

PUTRAJAYA, 28 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Januari tahun depan.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu diputuskan selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu, serta Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2) (a).

Katanya, SPR juga meneliti Laporan Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertarikh 13 Disember lalu serta pandangan undang-undang mengikut Akta 5.

“Dalam tempoh lima tahun bermula 13 Disember lalu, Sivarraaj tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya dan tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Azhar berkata, SPR telah mengambil angkah sewajarnya dalam membuat keputusan seperti diperuntukkan di bawah akta dan peraturan berkaitan pilihan raya sedia ada.

Pada 19 Disember lalu, SPR memaklumkan akan meneliti kelayakan Sivarraajh untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands selepas mendengar keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah selepas calon Pakatan Harapan, M Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah menyaksikan kemenangan Sivarraajh (Barisan Nasional) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Sivarraajh antara lain didapati bersalah memberi suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya berkenaan.

Hari penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands akan diadakan pada 12 Januari manakala hari mengundi awal pada 22 Januari.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :