NASIONALPENDIDIKAN

Prof Mohd Hamdi dilantik Naib Canselor UKM

BANGI, 6 DIS: Bekas Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaya (UM), Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baharu.

Pelantikan itu bagi menggantikan Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang tamat tempoh pelantikan, pada 31 Disember ini.

Mohd Hamdi, 47, yang pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor di UM mulai 2011 sehingga 2014, dilantik untuk tempoh tiga tahun, mulai 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2021.

Pelantikan beliau adalah menerusi surat daripada Menteri Pendidikan, Dr Maslee Malik, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12 (1) Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata beliau percaya dengan kelayakan cemerlang dan pengalaman luas Mohd Hamdi dalam pentadbiran universiti sebelum ini akan dapat membawa perspektif baharu kepada UKM.

“Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor baharu UKM diharap dapat mempertingkatkan lagi prestasi UKM bukan sahaja dari segi ‘ranking’, tetapi juga dalam pembangunan insan, kebolehpasaran graduan dan reputasi sebagai sebuah universiti nasional.

“Pada masa sama, pihak kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Noor Azlan yang banyak menyumbang kepada kejayaan UKM termasuk menaikkan kedudukan UKM dalam QS University World Ranking daripada kedudukan 269 pada tahun 2013/2014 ke kedudukan 184 pada tahun 2018/2019,” katanya.

Sejak penubuhan UKM 48 tahun lalu, UKM pernah dipimpin oleh 11 Naib Canselor iaitu Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba (1969-1971); Datuk Dr Ariffin Ngah Marzuki (1971-1974); Prof Dato’ Dr Mohd Ghazali Abdul Rahman (1974-1975); Tan Sri Dr Anuwar Mahmud (1975-1980); Prof Emeritus Tan Sri Dr Awang Had Salleh (1980-1984); Prof Tan Sri Dr Abdul Hamid Abdul Rahman (1984-1993); Prof Emeritus Dr Mohd Sham Mohd Sani (1993-1998); Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali (1998- 2003); Prof Tan Sri Dr Mohd Salleh Mohd Yasin (1 Mei 2003-27 Ogos 2006); Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (27 Ogos 2006-31 Disember 2013) dan Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali (1 Januari 2014-31 Disember 2018).

*Sumber: BHOnline

 


Pengarang :