SELANGOR

Program ‘Back To School’ bantu golongan B40

OLEH AFIX REDZUAN

KOTA RAJA, 23 DIS: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Kota Raja mengambil inisiatif menganjurkan ‘Program Back To School’ dengan menyumbang peralatan persekolahan secara percuma kepada hampir 80 pelajar di sekitar Kampung Teluk Menegun.

Penganjuran kali kedua di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kampung Teluk Menegun turut menyediakan perkhidmatan memotong rambut secara percuma dengan bantuan empat tukang gunting.

Ketua AMK Cabang Kota Raja, Jestin Raj Savarimuthu berkata, inisiatif ini walaupun dilihat kecil tetapi ia sedikit sebanyak membantu golongan berpendapatan bawah 40 (B40) menyediakan peralatan persekolahan anak-anak bagi menghadapi sesi pembelajaran 2019.

“Tujuan kita menganjurkan program ini adalah untuk mengurangkan kos sara hidup. Pengurangan kos sara hidup akan mengambil masa dan bukan boleh diubah dalam satu malam.

“Walaupun bukan sumbangan yang besar tetapi diharapkan dapat mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa pelajar terpilih,” katanya.

Setiap pelajar terpilih menerima sebuah beg serta alat tulis yang diserahkan sendiri oleh Jestin.

Menurutnya, walaupun program ini kali terakhir dianjurkan dua tahun lalu, beliau akan berusaha bagi memastikan ia diteruskan pada tahun mendatang.

 


Pengarang :