BERITA UTAMASELANGOR

Program pembangunan & aktiviti masyarakat tak pinggir kaum, agama – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 DIS: Kerajaan Negeri komited memastikan pelaksanaan program pembangunan dan aktiviti masyarakat di negeri ini tidak meminggirkan mana-mana kaum, etnik mahupun agama.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan perlu dihindari bagi merealisasikan agenda pembangunan berkesan.

Katanya, hal itu penting meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat dan memacu kemajuan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa memastikan kemajuan ekonomi, kestabilan politik dan kemakmuran sosial yang dinikmati rakyat di Selangor ketika ini akan terus kita pelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan perutusan sempena perayaan Hari Krismas 2018, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Amirudin berkata, di era Malaysia baharu, semua pihak mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan perpaduan dibina selama ini berkekalan.

“Saya menganjurkan agar kita berusaha untuk mengenali, Li Taarafu antara satu sama lain.

“Keamanan dan perpaduan tidak akan tercapai jika kita tidak kenal dan curiga antara satu sama lain. Oleh kerana itu, kita harus bersama-sama memupuk semangat kekitaan, semangat perpaduan dan keamanan di antara rakyat Selangor,” katanya.

Beiau turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua masyarakat beragama Kristian, di Selangor termasuk mereka yang meraikannya di seluruh negara.

“Merry Christmas and Happy New Year 2019 !,” katanya.


Pengarang :