Selangorkini
SELANGOR

Proses pembinaan litar lumba di Sungai Tua berjalan lancar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 DIS: Proses pembinaan sebuah litar lumba di kawasan Sungai Tua, Gombak seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 Negeri Selangor (Belanjawan’19) berjalan lancar dan akan diteruskan ke fasa pewartaan tanah di peringkat Kerajaan Negeri.

Pegawai Daerah dan Tanah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan menyelesaikan kerja ukur sebidang tanah berukuran 20 ekar yang dikenal pasti sebagai lokasi projek.

“Dengan selesainya proses ukur, kita akan membawa satu kertas kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk mewartakan tanah tersebut dan tanah tersebut akan kekal menjadi hak milik Kerajaan Negeri, bukan diberikan kepada pihak lain serta diwartakan dikawal oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dan diselenggara oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

“Jadi segala penyeleranggaraan dan aktiviti di kawasan tersebut akan dipantau serta diuruskan MSN Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Menurutnya, lokasi litar ini terletak di jalan Gombak-Sungai Tua ke Ulu Yam dan jauh dari kawasan perumahan sekaligus tidak mendatangkan gangguan bunyi aktiviti sukan.

Mengulas perkara sama, Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya akan memulakan proses mereka bentuk litar selepas semua kerja tanah diselesaikan.

Katanya, MSN akan berbincang dengan semua pihak yang berkaitan bagi memastikan litar yang siap kelak menepati spesifikasi penganjuran kejohanan besar.

Amirudin dalam ucapan pembentangan Belanjawan’19, 23 November lalu menyatakan litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 orang penonton dan dilengkapi kemudahan seperti paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan.

Bagi memaksimakan penggunaan, litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis dan Bomba.


Pengarang :