SELANGOR

Puisi dakwah subur ‘Malam Cinta Nabi’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 24 DIS: Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang di sini, Sabtu lalu, bergema dengan puisi dan nyanyian lagu dakwah bagi mengimarahkan Malam Kesenian Islam bertemakan ‘Malam Cinta Nabi’ dihadiri lebih 500 pengunjung.

Program sempena Maulidur Rasul peringkat Daerah Gombak dikendalikan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Agama Islam Daerah Gombak termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Gombak bagi menghayati sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Penolong Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak, Muhd Bukhari Amiruddin berkata, pendekatan julung kali membabitkan kerjasama tiga pihak itu bertujuan menyebarkan dakwah kepada masyarakat setempat dengan menggunakan medium hiburan dibenarkan dalam Islam.

Katanya, ia juga memberi penekanan berkaitan dakwah kepada orang ramai melalui kaedah pengacaraan.

“Tiga fasa dalam program ini meliputi segmen bual bicara pengacaraan dengan menggunakan kaedah syair serta sajak, selain diulas melalui sentuhan hati oleh pengacara.

“Ia dideklamasi artis tempatan disertai nyanyian nasyid berkonsepkan ketuhanan di mana melalui cara ini, penyampaian dakwah akan sampai kepada orang ramai,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Bukhari yang juga penyelaras program berkata, pihaknya optimis mengadakan program sama pada masa akan datang bagi memupuk rasa cinta dan kasih terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW sekali gus memperhebat penyebaran dakwah kepada masyarakat.

Terdahulu, program itu menampilkan pengacara ilmiah, Ustaz Shahrizan Ibrahim termasuk beberapa barisan artis tempatan yang turut menghiburkan pengunjung seperti The Helmis, Zul Handyblack serta Mel Wings.

Hadir sama, Orang Besar Daerah Gombak, Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh.

 


Pengarang :