Foto: BERNAMA
ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Pusat penempatan sementara banjir Terengganu kekal sebuah di Dungun

KUALA TERENGGANU, 6 DIS: Jumlah pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir di Terengganu kekal sebuah setakat jam 9 pagi ini walaupun berlaku hujan, malam tadi.

Portal info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan, PPS di Surau Kampung Besop Lama, Dungun, menempatkan lapan keluarga dengan 31 mangsa terdiri daripada 18 dewasa, sembilan kanak-kanak dan empat bayi.

Semalam, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah Dungun, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, pemindahan itu bukan disebabkan kenaikan paras air sungai tetapi air hujan yang bertakung di kawasan rumah mangsa dan dijangka pulih dalam tempoh tiga hari, bergantung keadaan cuaca, lapor BERNAMA.

Foto: BERNAMA

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, menerusi satu kenyataan berkata, semua sungai utama di negeri itu menunjukkan trend turun naik aras sungai disebabkan hujan sekejap-sekejap dan adakala lebat.

Dua sungai melepasi aras bahaya pada malam tadi juga menurun pada aras waspada pagi ini iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu.

“Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu, kembali normal serta Sungai Tumpat, Kemasik menurun daripada paras bahaya kepada amaran. Sungai lain masih normal,” katanya menurut kenyataan itu, hari ini.

Selain itu dilaporkan bahawa hujan lebat direkodkan di Lembangan Sungai Marang, Lembangan Sungai Kemaman dan Lembangan Sungai Terengganu, sekitar jam 8 pagi ini.

Ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu, Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir sentiasa bersiap siaga memandangkan hujan masih berlaku di kebanyakan tempat, di seluruh Terengganu.

 


Pengarang :