NASIONAL

Rakyat kekal sokong PAKATAN

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Tahap kepuasan dan sokongan orang ramai terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal, selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Tinjauan yang dijalankan di seluruh negara, baru-baru ini oleh Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid dan pembantunya, Azrul Hisyam Wakichan dari Unit Kajian Pilihan Raya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia adalah kesinambungan daripada tinjauan pertama, pada Ogos lalu.

Tinjauan sama juga mendapati tahap kepuasan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meningkat atau turun satu peratus atau kekal, pada tahap sama.

Bagaimanapun, hanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan mencatatkan peningkatan tahap kepuasan orang ramai daripada 36 peratus kepada 45 peratus dalam tempoh sama.

Responden turut kekal memilih PAKATAN (termasuk Warisan) dengan catatan 55 peratus, Barisan Nasional (24%) dan PAS (16%).

Dalam tinjauan awal pada Ogos, 56 peratus menyatakan bahawa mereka lebih suka memilih untuk mengundi PAKATAN, berbanding BN (24%) dan PAS (14%).

Seperti tinjauan terdahulu, sokongan paling tinggi untuk PAKATAN ialah daripada masyarakat Cina (73%) diikuti India (56%), manakala 42 peratus mmewakili Melayu dan Bumiputera.

Dr Mahathir masih mendapat sokongan daripada sebilangan besar rakyat tanpa mengira kaum, pendapatan, pendidikan dan jantina, dengan 62 peratus daripada responden menyatakan kepuasan mereka kepada beliau, pada Ogos dan Disember.

Tinjauan pada Disember membabitkan 1,469 responden, manakala tinjauan pada Ogos mewakili 1,500 responden.

Responden di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak secara peribadi ditemubual dan dipilih berdasarkan kepadatan populasi, komposisi kaum, latar belakang pendidikan yang berbeza, umur dan jantina.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :