NASIONAL

Rakyat Malaysia di Songkhla diminta waspada

PUTRAJAYA, 27 DIS: Rakyat Malaysia di sekitar kawasan pelancongan berhampiran Pantai Samila, Songkhla, Thailand dinasihatkan berhati-hati dan memantau perkembangan terbaharu dari berita tempatan serta pihak berkuasa tempatan mengenai kejadian letupan bom di kawasan itu.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand mengesahkan berlaku dua letupan bom di lokasi pelancongan berhampiran Pantai Samila, Songkhla pada kira-kira jam 10.00 malam (waktu tempatan) pada Rabu lalu.

“Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral di Songkhla, Thailand di +66 93 657 0707,” katanya.

Terdahulu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar berkata, tiada rakyat Malaysia cedera dalam kejadian di pantai yang popular di kalangan pelancong tempatan dan asing termasuk rakyat Malaysia.

Dua butir bom menggegarkan Pantai Samila, menyebabkan kerosakan pada patung duyung emas dan arca kucing serta tikus yang terkenal di kawasan itu.

Gabenor Wilayah Songkhla, Wiranan Penjang berkata, tiada siapa cedera dalam insiden itu yang berlaku pada jam 10 malam (11 malam waktu Malaysia).

Bom kedua merosakkan bahagian pangkal patung duyung itu.

Bom pertama yang meletup 10 minit terdahulu merosakkan arca kucing dan tikus terletak 200 meter dari patung duyung berkenaan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :