SASTERA

Rasukan sajak si anak muda

OLEH ABDULLAH JONES

MEMPERSEMBAH deklamasi sajak kepada orang ramai — depan khalayak awam, tanpa perlu ada pentas di negara ini mungkin dipelopori oleh Pyanhabib, Sani Sudin dan beberapa penyair ‘kutu’ pada zaman kegemilangan Central Market suatu
waktu dahulu.

Namun, aksi anak muda, Ali Adenan dan rakan-rakannya dari Sarikat Indie Timor dalam acara yang mengabungkan persembahan sajak dan seni tari bagaikan ada ‘karan’ yang begitu mengetarkan.

Kebetulan lokasinya juga sama, cuma kali ini menerusi acara Riuh In The City, berlangsung pada 17 dan 18 Disember lalu.

Ali, penyair dari Kuantan, Pahang, bagaikan watak yang dirasuk perwatakan yang dibawakannya. Beliau bukan sekadar membaca sajak; setiap bait yang disampaikannya, yang terpacul dari mulutnya, terasa begitu jujur — seolah-olahnya datang dari lubuk hati yang paling dalam.

Ternyata, beliau — dari gerak-geri, riak wajah dan lontaran suara — benar-benar dapat meyakinkan penonton yang beliau sedang meluahkan rasa dari dalam diri sendiri walaupun beliau sebenarnya ‘membaca’ sajak karya si Burung Merak, nama pena WS Rendra, penyair tersohor tanah seberang.

Ali bergerak menyampaikan sajak di celah-celah penonton, seolah-seolah seorang lelaki yang sedang asyik dilanda amarah. Membentak dalam meluahkanrasa tidak senang. Penonton pula seolah-olah terpukau, namun ada sebahagian mereka terpinga-pinga, tidak tahu apa yang perlu dibuat apabila berdepan dengan gelagat anak muda bertubuh kurus itu.

Ada sekumpulan pelancong yang langsung tidak faham patah butir perkataan yang dihamburkan Ali. Namun apabila ditanya, mereka menyatakan kekaguman terhadap persembahan tersebut. Kata mereka persembahan tampak benar bersemangat. Mereka amat suka lalu menunggu persembahan hingga habis dan mengucapkan tahniah kepada Ali.

Dalam persembahan tersebut, Ali diiringi tarian ubahan koreografer Al Jabar Laura yang dipersembah penari Huai Yai. Ini bukan persembahan pertama Ali. Beliau telah lama mengasah bakat melalui pelbagai acara antaranya Cendera Loka(l), Pesta Senandung Anak Pahang, Malam Tinju Pusi, Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri Pahang, Puisi Satu Petang dan Pesta Ngulor.

Kali ini, Ali pula memilih Sajak Sebatang Lisong sebagai suatu bentuk protes. Dalam sajak itu, WS Rendra berkata ketika negara (Indonesia) dilanda pelbagai permasalahan, tukang puisi masih sibuk menulis pasal anggur, pasal rembulan.

Pemilihan sajak itu ada baiknya. Ketika negara menuju sesuatu yang tidak pasti, sebilangan besar seniman kita masih leka mencari kesempurnaan bahasa dan estetik melalui sajak dan puisi.

Sebaliknya, puisi perlawanan biasanya datang dari kumpulan penyair yang tidak didendang manakala kalangan arus perdana sentiasa berhati-hati dalam menyatakan penentangan hingga — mungkin — terlupa melawan ketika kezaliman ligat berleluasa.

Dengan tidak berbaju dan tiba-tiba menyalakan rokok di depan khalayak, aksinya yang turut tular di media sosial, memperoleh kekaguman ramai. Namun, bagi sesetengah orang, Ali kelihatan seperti seorang anak muda yang tidak punya akhlak. Terjerit-jerit, tidak berbaju dan merokok. Mereka lupa, itu bukan Ali sebenar. Itu Ali yang kerasukan sajak!

Begitulah cara anak muda. Namun, ramai lebih gemar memandang anak muda melalui kaca mata luaran — penampilan fizikal mereka, lalu dihakimi dengan berat sebelah. Sangat kurang dari kalangan kita yang mahu menyelami pemikiran anak muda kerana sangka mereka — hanya kerana telah berusia, maka idea orang lebih tua semestinya lebih handal dan sentiasa betul.

Sedangkan, dunia hari ini milik anak muda. Walaupun mereka pasti melakukan seribu satu kesilapan sebelum mereka mencapai takah kematangan, siapalah kita untuk menafikan kecerdasan akal seorang anak muda? Bahkan, mereka sedar betapa cara mereka meluahkan rasa dianggap janggal di mata orang tua.

Namun, jika pandangan dan tindak balas mereka atas segala kegagalan tidak diambil peduli, kita khuatir mereka akan ‘meledak’. Kita bimbang dengan tabiat perbandingan usia yang tidak adil. Jika ini berlaku, rugi benar rasanya — hanya kerana mereka muda, maka mereka diperlekeh.

Walaupun ya, mungkin Ali sepatutnya menulis sendiri demi melampiaskan ketidakpuasan hatinya daripada memilih Sajak Sebatang Lisong sebagai wadah luahan rasanya, keputusan beliau harus dihormati. Kita harus sedia memberikan beliau sedikit masa untuk membentuk identiti sendiri. Sementelah pula, beliau masih dalam proses lebih menghargai karya sendiri daripada mengidolakan penyair negara tetangga.

Sebenarnya, ini adalah seni persembahan yang sekian lama ditunggui. Ali adalah nafas segar dalam kabut ambiguiti seni persembahan Malaya. Moga Ali Adenan bukan seorang sahaja. Harap-harapnya ada lebih ramai Ali Adenan.

Jadi, kita juga boleh mengharapkan lebih banyak “sebatang lisong” hadir dalam dunia seni kerana kita sekian lama telah dibuai ungkapan puitis “anggur dan rembulan”.


Pengarang :