SELANGOR

Ribuan rakyat meriahkan Jamuan Hi-Tea Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 11 DIS: Majlis Jamuan Hi-Tea Diraja Sempena Menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-73 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Padang Mahkota, Istana Alam Shah berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 5,000 tetamu.

Baginda tiba mencemar duli ke majlis sekitar jam 3.30 petang bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sambil diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari serta isteri, Masdiana Muhamad.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Selangor dan Tarian Menjunjung Duli serta disusuli sembah ucapan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Baginda turut bertitah dalam majlis ini dan kemudiannya diteruskan dengan Upacara Menjamah Pulut Kuning sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-73 DYMM Sultan Selangor serta disusuli dengan Majlis Menghadap bagi mempersembahkan hadiah kepada Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya menyeru umat Islam supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan ektremis dan ajaran bertentangan dengan kepercayaan serta amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Baginda turut menyarankan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya sentiasa memantau kegiatan kumpulan yang mengamalkan ajaran sesat supaya ianya tidak berterusan mengelirukan umat Islam sehingga tidak dapat dikawal di suatu hari nanti.

“Kita perlu sentiasa menjalankan intipan dan penguatkuasaan agar kegiatan mereka dapat dibenteras pada peringkat awal lagi.

“Beta tidak mahu kegiatan kumpulan ajaran sesat ini nanti akan melahirkan golongan sesat dan ekstremis yang boleh memecahbelahkan masyarakat, mencemar kesucian agama Islam dan boleh menggugat keselamatan negara,” titah baginda.


Pengarang :