NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pagi ini berikutan peningkatan permintaan untuk unit tempatan berkenaan.

Pada 9.18 pagi, ringgit berada pada paras 4.1800/1840 berbanding dolar AS daripada 4.1830/1880 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata, pelabur mengalihkan tumpuan kepada ringgit dengan prestasi dolar AS pula memaparkan petunjuk lebih perlahan ketika data harga pengguna bagi November di negara maju itu masih tidak berubah.

“Data lemah ini hanya menyokong pandangan bahawa teras inflasi itu kekal kukuh, namun tidak cukup untuk mempengaruhi Rizab Persekutuan AS mengambil pendirian lebih agresif.

“Ini sekali gus mengurangkan jangkaan terhadap jumlah kenaikan kadar faedah AS pada tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, ​​​​​​​ringgit kebanyakannya didagangkan rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali dolar Singapura yang menyaksikannya hampir tidak berubah pada 3.0462/0493 daripada paras 3.0462/0509 yang dicatat semalam.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.6861/6906 berbanding 3.6858/6912, rendah berbanding pound Britain kepada 5.2747/2815 daripada 5.2434/2501 dan turun berbanding euro kepada 4.7514/7580 daripada 4.7398/7471.

– BERNAMA

 


Pengarang :