NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi pada dagangan terakhir 2018

 

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari dagangan terakhir bagi 2018 hari ini, didorong pasaran ekuiti lebih kukuh, yang disokong oleh aktiviti memperelok akaun akhir tahun.

Pada 9.02 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1430/1460 berbanding dolar AS daripada 4.1500/1550 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Peniaga berkata, pemintaan terhadap mata wang tempatan meningkat memandangkan pelabur antarabangsa di Bursa Malaysia menukar mata wang mereka kepada ringgit, sekali gus mendorong prestasi unit tempatan.

Bagaimanapun, peniaga berkata, pelabur dijangka menunggu laporan Indeks Harga Pengeluar dan bekalan wang secara meluas (M3) bagi November yang dijadual dikeluarkan hari ini, untuk mendapatkan lebih petunjuk bagi hala tuju pelaburan.

Semasa pasaran dibuka hari ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7531/7568 daripada 3.7597/7653 pada Jumaat lepas dan naik berbanding euro kepada 4.7412/7459 daripada 4.7488/7550.

Ringgit, bagaimanapun, rendah berbanding pound Britain kepada 5.2571/2613 daripada 5.2468/2548 dan tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.0336/0369 daripada 3.0336/0384.

– BERNAMA


Pengarang :