SELANGOR

RM1.5 juta untuk internet berkelajuan tinggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

CYBERJAYA, 6 DIS: Sebanyak RM1.5 juta diperuntukan Kerajaan Negeri bagi memajukan kelajuan gigabit rangkaian internet (1 gigabit sesaat), untuk kemudahan pengguna internet, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kelajuan internet yang sesuai diperlukan bagi memenuhi keperluan masyarakat berhadapan gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Merujuk kepada Forum Ekonomi Dunia 2017, dijangkakan 65 peratus kanak-kanak yang memasuki pendidikan perdana hari ini akan berakhir dengan perkerjaan yang belum wujud, justeru menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan generasi masa hadapan.

“Ini menjadi salah satu sebab utama Kerajaan Negeri membuat persediaan berhadapan IR 4.0 dengan mengambil inisiatif seperti mewujudkan Selangor Digital Creative Centre (SITEC) untuk mempersiapkan generasi muda kita berhadapan cabaran akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Usahasama Antara Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia, Persatuan Robotik dan Automasi Malaysia, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia dan Yayasan Promosi Industri Bucheon, Korea bersama Advance Technologies Innovative Alliance, di Bangunan Pesuruhjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, di sini, semalam.

Amirudin berkata, IR 4.0 turut dijangka bakal mengubah cara hidup, kerja dan komunikasi masyarakat seluruh dunia serta ia tidak dapat dielakkan.

“Kita perlu persiapkan diri supaya tidakketinggalan dan dahulu semasa IR 1.0, IR 2.0 dan IR 3.0, kita anggap akan menyebabkan ramai hilang kerja, namun akhirnya kita terima serta mampu atasinya,” katanya.


Pengarang :