SELANGOR

Rokok bahayakan kesihatan, sakit sendiri jangan salahkan orang lain

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 23 DIS: Permintaan tinggi dalam pasaran tempatan kerana harga ditawarkan murah menyebabkan sindiket penyeludupan rokok terus berleluasa.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Borhan Aman Shah berkata, kenaikan cukai rokok juga menyebabkan permintaan rokok seludup meningkat.

“Jika tiada ‘demand’ maka tidak akan berlaku aktiviti ini. Orang ramai perlu faham rokok seludup mengundang pelbagai masalah kesihatan kerana pembuatannya mengandungi bahan terlarang.

“Semua rokok memang tidak bagus menyebabkan ketagihan sukar dibendung, sakit sendiri jangan salahkan orang lain,” katanya sambil berseloroh.

Beliau berkata demikian pada Program Pencegahan Penyeludupan dan Khidmat Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tanjong Sepat, di Kampung Batu Laut, di sini.

Hadir sama, Pengarah Operasi Penguatkuasa Kastam Zon Tengah, Dato’ Abdul Wahabi Abdullah.

Pada masa sama, Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat berkata, pemilihan kawasan Batu Laut untuk pendedahan program itu adalah tepat kerana kawasan berkenaan merupakan salah satu laluan kepada penyeludup.

“Kawasan berdekatan pantai ini mempunyai laluan untuk penyeludupan barangan tetapi pekerja asing juga.

“Sebagai contoh, sebelum ini di Pantai Morib terdapat 40 pekerja asing meninggal dunia kerana ditinggalkan oleh ejen di beting kosong kerana menganggap air di kawasan itu cetek.

“Justeru, kami berharap orang ramai boleh menyalurkan maklumat membantu sekiranya melihat sesuatu yang mencurigakan atau sebaliknya,” katanya.


Pengarang :