BERITA UTAMASELANGOR

Sambut ulang tahun ke-100, Panasonic terus unggul

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 DIS: Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad (PMMA) menyambut ulang tahun ke-100, di dunia sebagai sebuah jenama pengeluar barangan terkenal dengan perasmian bangunan baharu, di Seksyen 15, di sini.

Bangunan baharu itu menempatkan tiga kemudahan terkini, iaitu PMMA, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Peralatan Panasonic Asia Pacific Sdn Bhd (PAPRADAP) serta Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) dengan slogan ‘Ke Arah Era Baharu’.

Majlis perasmian disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Hadir sama EXCO Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Kim dan Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pegawai Eksekutif Urusan Kanan Panasonic Corporation, Tetsuro Homma.

Amirudin dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Panasonic atas kejayaan pembukaan bangunan baharu, di Shah Alam selepas bertapak hampir 50 tahun, di Malaysia serta berharap syarikat itu akan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Selangor.

Katanya, terdapat beberapa peluang kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Panasonic, terutama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan selain pembangunan modal insan dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti serta terlatih.

“Secara asasnya Panasonic menyumbang kepada 16.3 bilion jumlah pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam negara untuk tempoh setahun (GDP) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita atau bersamaan 1.4 peratus KDNK negara.

“Mereka sudah bertapak 50 tahun di sini bermula 1965 dan mempunyai jaringan kilang yang banyak terutama empat buah di Shah Alam selain di Melaka dan Johor,” katanya.

Selain itu, Panasonic juga mempunyai program khidmat sosial korporat yang boleh dimanfaatkan terutama kepada Orang Asal, komuniti dan alam sekitar.

Beliau berkata, Selangor turut menerima manfaat daripada perkembangan industri pelaburan mutakhir ini dengan sasaran RM7 bilion bagi tahun 2018 berdasarkan kemudahan ekonomi ditawarkan khususnya dalam bidang perkhidmatan.

 


Pengarang :