SELANGOR

‘Sanitary Landfill’ kurang relevan lestari alam sekitar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: Kaedah pelupusan sisa pepejal menggunakan teknologi sanitari (Sanitary Landfill) bukan lagi sistem yang boleh menyelesaikan masalah pelupusan sisa sampah, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kaedah pelupusan sisa pepejal yang diamalkan sekarang sudah tidak lestari dan relevan untuk diteruskan, pada masa akan datang.

“Ia bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malahan apa yang penting ialah isu kekurangan tanah untuk digunakan sebagai tapak pelupusan serta kos pengawasan.

“Selain itu, penyelenggaraan tapak pelupusan mengambil tempoh lama selepas ia ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement) antara Worldwide Holdings Berhad dan Western Power Clean Energy Sdn Bhd serta Pelancaran Sistem Aplikasi E-World, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Selaras dengan strategi keempat belanjawan Selangor untuk melestarikan alam sekitar, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan beralih daripada cara konvensional dalam melupuskan sisa pepejal kepada sistem pengurusan pelupusan menggunakan teknologi tinggi.

Katanya, ia ekoran peningkatan keperluan kepada tapak pelupusan untuk melupuskan sampah termasuk pertambahan penduduk dan aktiviti masyarakat.

“Gaya hidup generasi baharu sangat terdedah kepada penggunaan sisa pepejal seperti plastik ,logam, sisa bahan makanan, bahan binaan dan landskap.

“Kita akan terus meneroka kaedah atau teknologi tinggi yang memberi kesan positif dalam memastikan isu sisa pepejal, di Selangor dapat diselesaikan dengan kaedah kerjasama pihak swasta secara Public Private Partnership,” katanya.


Pengarang :