BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Selangor Cyber Games, acara terbesar di Malaysia tahun hadapan

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 3 DIS: Kerajaan Negeri merancang untuk menjadikan Selangor Cyber Games (SCG) sebagai acara terbesar di Malaysia, tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ekoran respon positif daripada penggiat dan pemain industri E-Sukan, SCG akan ditingkatkan kualiti dan tahap penganjurannya.

“Kali pertama SCG diadakan pada 2014, ketika itu kita menerima maklum balas yang skeptikal, masyarakat tidak begitu prihatin terhadap sukan elektronik ini.

“Namun, kecekalan dan keyakinan akan masa depan sukan ini, Kerajaan Negeri menganjurkan kembali pada 2015.

“Menerusi itu, kita menerima peserta dari luar negara selain menarik perhatian pemain tempatan sekali gus, berjaya melahirkan pemain berpotensi dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Selangor E-Sport Experience, di The Pantheon, di sini, semalam.

Amirudin berkata, pengalaman lima tahun dalam menganjurkan SCG itu juga turut diikuti di peringkat Penggerak Belia Tempatan (Pebt) kepada komuniti kawasan masing-masing.

“Dengan kejayaan ini, saya percaya Selangor boleh dikatakan ke hadapan berbanding negeri lain.

“Saya juga percaya, dengan jaminan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, SCG akan menjadi acara terbesar di Malaysia, tahun hadapan,” katanya.

Selangor terus menjadi peneraju dalam bidang e-sukan di Malaysia. Selangor Cyber Games yang bermula pada 2014 telah menjadi jenama yang disegani di kalangan penggiat e-sukan di negara ini.

SCG 2018 berjaya menarik 1,100 orang peserta dengan jumlah hadiah terkumpul berjumlah RM250,000.

Bagi 2019, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM 400,000 bagi pembangunan dan penganjuran sukan e-sukan.

Kerajaan Negeri turut menyasarkan peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi melonjakkan pembangunan sukan e-sukan ke peringkat serantau.


Pengarang :