SELANGOR

Selangor haram guna beg plastik menjelang 2030

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 DIS: Larangan penggunaan beg plastik di negeri ini akan dikuat kuasakan sepenuhnya, menjelang 2030, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, keputusan berkenaan selaras pelaksanaan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastick 2018-2030 yang dilancarkan Kerajaan Persekutuan, pada Oktober lalu.

Katanya, proses pengharaman beg plastik itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita berpendapat tempoh 11 tahun untuk menjadi negeri bebas plastik agak lama. Kita pasti jika 2030 baru dilaksanakan secara menyeluruh, masalah plastik di negara ini akan menjadi lebih buruk.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mencuba untuk ke arah itu lebih awal, namun kita memberikan masa kepada pembekal untuk menghasilkan bahan ganti beg plastik ini kepada bahan yang lebih berkualiti selain menjimatkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, di Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan PBT untuk mempertimbangkan tindakan lebih tegas kepada premis yang masih menyediakan beg plastik secara percuma.

“Sebelum ini, kita tidak mengambil tindakan kepada premis yang memberikan beg plastik secara percuma kepada pengguna, namun selaras dengan inisiatif bebas plastik ini, kita akan melaksanakannya,” katanya.


Pengarang :