BERITA UTAMASELANGOR

Selangor muncul ‘smart state’ pertama di dunia

OLEH NAZLI IBRAHIM

CYBERJAYA, 7 DIS: Persiapan rapi Kerajaan Negeri yang berada di landasan tepat bakal menjadikan Selangor sebagai negeri pertama bergelar ‘smart state’, menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha itu dimulakan lebih tiga tahun lalu dengan menubuhkan Selangor Information Technology and e-Commerce (SITEC).

Katanya, lebih membanggakan SITEC turut menerima anugerah daripada Malaysia Digital Economy Corporation sebagai agensi kerajaan pertama diiktiraf Malaysia Digital Economy Corporation ekoran prestasi baik dalam e-dagang.

“Usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi kita yakin ia boleh dilaksanakan jika semua pihak berusaha gigih.

“‘Smart State’ bukan sekadar aplikasi semata-mata tetapi satu budaya dan cara hidup masyarakat serta bagaimana kita mengkoordinasi juga mengimplementasi kepada rakyat, untuk membudayakan kehidupan di dalam negeri pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Usahasama antara Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia bersama beberapa persatuan dan institusi, di seluruh negara, di Bangunan Pesuruhjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, di sini, semalam.

Antara yang terbabit adalah Persatuan Robotik dan Automasi Malaysia, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia dan Yayasan Promosi Industri Bucheon, Korea bersama Advance Technologies Innovative Alliance.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beberapa bandar di negara lain lebih memberi tumpuan untuk menjadikan bandar masing-masing sebagai ‘Smart City’.

 

 

 


Pengarang :