GLOBALSELANGOR

Selangor-NTB tandatangani LOI

OLEH AFIX REDZUAN

LOMBOK, INDONESIA, 17 DIS: Kerajaan Negeri Selangor dan Nusa Tenggara Barat (NTB) menandatangani Letter Of Intent (LOI) sebagai tanda penghargaan dan persefahaman awal kedua-dua pihak atas kesudian mengadakan lawatan bagi meninjau potensi perdagangan serta pelancongan yang boleh dikembangkan.

Majlis menandatangani LOI disempurnakan wakil Gabenur NTB, Dr Siti Rohmi Djalillah dan Ketua Deligasi Negeri Selangor, Borhan Aman Shah bersempena majlis makan tengahari di Novotel Resort, Mandalika.

Sebelum ini, Deligasi NTB mengunjungi Negeri Selangor pada November lalu dan disusuli kunjungan balas Deligasi Negeri Selangor ke Lombok pada 16 hingga 19 Disember.

Borhan berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Deligasi Negeri Selangor yang diketuai Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dijadualkan akan melawat kembali Lombok pada Januari hadapan.

“Kehadiran kita bersama EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim; EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

“Dalam bidang pertanian, kita mahu melihat teknologi yang ada di sini kerana salah satu industri terkenal adalah peladangan jagung.

“Kita boleh kongsi pengalaman dan membawa pulang teknologi itu di Selangor serta mungkin kita kongsikan tekonologi yang kita ada di Lombok.

“Dua hala tuju ini boleh diimbangkan dengan harapan boleh membawa perubahan kepada Selangor dan Lombok.

“Bagi pelancongan, kita kagum kerana ada hotel dan pusat pelancongan yang mempunyai 5,000 unit penginapan,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, deligasi Negeri Selangor juga boleh mendapatkan peluang untuk mempelajari sektor pelancongan kerana Lombok mempunyai pengalaman pengurusan dan publisiti sehingga peringkat antarabangsa.

Kredit Foto: BERNAMA


Pengarang :