Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor The Regional Power House diperkenal tahun hadapan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Forum ‘Selangor Synergies’ terus diperkasa menerusi pendekatan terbaharu, ‘Selangor The Regional Power House’ yang bakal diperkenalkan tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, menerusinya, MBI akan menjemput pemain industri, komuniti perniagaan selain Kerajaan Negeri untuk terus membincangkan kaedah terbaik merealisasikan agenda Smart Selangor menjelang 2025.

Katanya, ia lanjutan daripada kelima-lima siri ‘Selangor Synergies’ yang mendapat maklum balas positif semua pihak.

“Ia adalah program yang baik kerana berjaya merapatkan Kerajaan Negeri, pemain industri dan komuniti perniagaan.

“Kita berjaya mendengar keluhan atau cadangan pihak swasta yang mahukan kerjasama dengan kerajaan,” katanya ketika ditemui di Forum ‘Selangor Synergies’ di Saujana Hotel, semalam.

Menerusi forum yang bertemakan ‘Connecting The Dots’, Raja Shahreen berkata, ia membincangkan mengenai cadangan mewujudkan ‘Smart Digital Infrastructure’, ‘internet of Things’ dan ‘Smart Transport’.

“Banyak isu dibincangkan antaranya kerjasama semua agensi dalam mencari cadangan dan menyelesaikan masalah secara bersama.

“Bagi MBI, kita mempunyai beberapa inisiatif strategik antaranya program rumah mampu milik, ‘Selangor Maritime Gateway’ yang berteraskan Sungai Klang supaya pembangunan Bandar Klang yang dikatakan ‘sleeping town’ dapat dibangunkan,” katanya.

Forum ‘Selangor Synergies’ kali ke lima itu menampilkan panelis antaranya Pengarah Urusan Central Spectrum, Dato’ Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Dato’ Mohamad Azlan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mutiara Teknologi, Puteri Mariana Abdul Majid.

Manakala Moderator, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBR Asia, Dato’ Beatrice Nirmala.


Pengarang :