SASTERASELANGOR

SelangorKini sedia ruang seniman berkarya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 DIS: SelangorKini menyediakan ruang buat seniman mempamerkan bakat sekali gus mampu mengangkat martabat seni dan budaya di negeri ini.

Pemenang Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2018, Mohd Syafiq Ghazali, 29, berkata, beliau tidak menjangka hasil karyanya mendapat pengiktirafan akhbar berkenaan dan berjaya memenangi hadiah utama bagi kategori cerpen.

“Sebenarnya saya tidak kisah menang atau tidak, asalkan tersiar untuk tatapan orang awam, ia sudah mencukupi dan penuh bermakna.

“Namun apabila menang, saya rasa amat bersyukur dan ia menjadi pemangkin semangat untuk terus menghasilkan lebih banyak karya berkualiti,” katanya ketika Program HSS 2018 di Galeri Shah Alam, malam tadi.

Pada acara berkenaan, Mohd Syafiq memenangi wang tunai RM5,000 melalui cerpen bertajuk Ghagha Nak Kucup Peghancis.

Katanya, beliau turut berbangga apabila ketiga-tiga cerpen dihantar kepada SelangorKini berjaya disiarkan.

“Saya mula menulis sejak 2011 dan semua karya ini dihasilkan secara spontan, seperti Ghagha Nak Kucup Peghancis, tajuknya kelihatan pelik kerana itu adalah cara orang pelat bercakap.

“Ia dihasilkan melalui pengalaman saya sendiri yang kadangkala bercakap agak pelat, saya berharap supaya karya selepas ini dapat diterima lebih ramai pihak sekali gus menghiburkan mereka,” katanya.

Selain Mohd Syafiq, lima lagi penulis cerpen turut menerima hadiah penghargaan dengan wang tunai RM1,000.

Mereka termasuk Arif Zulkifli (Rahsia Bilik), Shahkang (Kucing Non Partisan), Saat Omar (9 Mei), Sheeraghafar (Penjual Besok), dan Haniff Yusoff (Seperti Apakah Rasanya Pizza).


Pengarang :