Selangorkini
SELANGOR

Siri Jelajah 360° Smart Selangor beri pendedahan kepada rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

MORIB, 16 DIS: Penganjuran Siri Jelajah 360° Smart Selangor: Alami Smart Selangor merupakan pendekatan secara terus dan menyeluruh kepada rakyat Selangor untuk mendedahkan sekaligus mempromosikan agenda berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor), YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, Kerajaan Negeri memberikan mandat kepada MBI untuk menjadikan visi Smart Selangor sebagai satu realiti.

Bagaimanapun, katanya, matlamat Selangor untuk menjadi Smart State terulung di Asean menjelang tahun 2025 perlu pembabitan semua pihak.

“Justeru, penganjuran siri Jelajah 360 ini juga merupakan antara gabungan kerjasama terbesar yang membabitkan anak syarikat, agensi dan jabatan Kerajaan Negeri Selangor, serta pihak-pihak lain yang mahu menjayakan visi tersebut.

“Siri Jelajah 360° Smart Selangor ini adalah satu pendekatan secara terus dan menyeluruh kepada rakyat Selangor untuk mendedahkan sekaligus mempromosikan Smart Selangor serta menyampaikan intipati agenda negeri Selangor kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Siri Ketiga Jelajah itu di Pantau Morib, di sini.

Pada masa sama, Raja Shahreen berkata, Smart Selangor bukan retorik semata-mata, dan ia jelas dengan komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Negeri yang mewujudkan inisiatif baru yang diharapkan dapat memberi kesan sebagai pemangkin ekonomi dan sosial masyarakat negeri ini.

Katanya, sebagai satu agenda yang meluas, Smart Selangor mampu menghubungkan rakyat, pentadbiran negeri serta industri, supaya kualiti hidup rakyat dan ‘service delivery’ pihak Kerajaan juga dapat dipertingkatkan di Selangor.

“Untuk tahun ini, Siri Jelajah 360° Smart Selangor yang pertama diadakan di Pantai Remis, dan kami teruskan penganjuran di dua daerah yang lain bagi tahun ini iaitu di Hulu Selangor pada bulan November, dan di Kuala Langat pada hari ini.

“Pelbagai program dan aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung yang bukan sahaja dapat memberi pendedahan kepada agenda Smart Selangor, tetapi kami juga mahu rakyat Selangor mengenali inisiatif Kerajaan Negeri dalam keadaan yang lebih santai dan meriah.

“Saya sangat gembira dengan inisiatif pada hari ini, dan berharap penduduk sekitar Kuala Langat yang hadir pada hari ini tidak ketinggalan untuk sama-sama merasai pengalaman Smart Selangor sebagai sebuah negeri pintar,” katanya.


Pengarang :