SELANGORSUKANKINI

#SIYEF2018 bertaraf antarabangsa, tarik ribuan pengunjung

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 29 DIS: Festival Belia Ekstrem Antarabangsa Selangor 2018 (#SIYEF2018) dijangka mendapat sambutan hangat peminat sukan ekstrem ekoran status festival yang bertaraf antarabangsa.

Pengurus program, Hermy Rahim berkata, beliau menjangkakan festival anjuran EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) itu akan dihadiri lebih 3,000 pengunjung.

“Ada pelbagai tarikan pada festival kali ini di mana terdapat tujuh jenis aktiviti ekstrem disediakan untuk pengunjung dengan bayaran RM5 sahaja dan ada juga yang percuma berbanding di luar sana yang mengenakan harga tinggi.

“Selain sukan ekstrem terdapat juga acara lain seperti bual santai membabitkan artis popular, Kaka, senamrobik, busking, permainan ‘e-sport FIFA19’, Social Media Gathering, pertandingan futsal dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada #SIYEF2018 di Gua Wira Damai Batu Caves di sini, hari ini.

Hermy berkata, antara aktiviti ekstrem yang ditawarkan pada penganjuran kali kedua itu adalah ‘flying fox’, ‘rock climbing’, ‘abseiling, ‘paintball’, ‘tree climbing’, ‘jumaring’ dan pertandingan basikal BMX.

Katanya, festival itu turut mendapat kerjasama persatuan sukan lasak antarabangsa.

Festival yang akan dirasmikan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman itu bermula jam 8.00 pagi hingga kepada 6.00 petang pada hari ini dan esok.


Pengarang :