SELANGOR

#SIYEF2018 jana pendapatan peniaga kecil

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 30 DIS: Festival Belia Ekstrem Antarabangsa Selangor 2018 (#SIYEF2018) diyakini mampu merancakkan industri pelancongan negeri dan memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal itu memandangkan pertambahan permintaan terhadap peralatan sukan ekstrem pada masa kini menjadi pendorong kepada syarikat pengeluar untuk melabur, di Selangor.

Katanya, pengeluaran peralatan pada harga murah, terutama syarikat pengeluar turut membuka peluang perniagaan kepada peniaga kecil untuk menjual peralatan sukan ekstrem dengan lebih banyak.

“Sebenarnya kalau dilihat dalam skop lebih luas, sukan ekstrem ini mampu membantu menjana ekonomi melalui pelbagai sudut yang mana turut melingkupi industri pelancongan, peniaga kecil dan lain-lain.

“Sebagai contoh, sukan rekreasi memancing ikan kalau kita masih ingat pada tahun 1980-an, kedai yang menjual peralatan memancing agak kurang kerana memancing ikan hanya dianggap sebagai mata pencarian nelayan kecil dan hobi.

“Namun, apabila hobi memancing ikan dikomersialkan sebagai satu sukan rekreasi, sambutannya meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan kedai menjual peralatan memancing bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Belia Ekstrem Antarabangsa Selangor 2018 (#SIYEF2018), di Taman Ekstrem Gua Damai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan; Timbalan Setiausaha Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Azhar Samsuri; Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Nizam Marjugi dan Setiausaha Agung PEMADAM Kebangsaan, Burhaniddin Disa.

Khairuddin berkata, penganjuran #SIYEF2018 yang memasuki tahun kedua itu turut memberi peluang kepada pengusaha sukan terbabit untuk membuka tapak perniagaan sukan esktrem.

“Keadaan ini nanti sudah semestinya akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk modal insan, khususnya di Selangor.

“Saya optimis bahawa festival ini secara tidak langsung membantu mempromosikan Selangor secara lebih meluas dan tidak terhad kepada acara ini sahaja, tetapi turut melingkupi industri pelancongan, peniaga kecil dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, #SIYEF2018 menawarkan pelbagai aktiviti ekstrem menarik misalnya ‘flying fox’, ‘rock climbing’, ‘abseiling, ‘paintball’, ‘tree climbing’, ‘jumaring’ dan pertandingan basikal BMX.

Festival yang mendapat kerjasama dan sokongan penuh persatuan sukan lasak antarabangsa itu turut diisi dengan aktiviti seperti ‘Social Media Gathering’, bual santai selebriti popular, ‘Instameet Gathering’ dan pertandingan ‘barber style’.

 


Pengarang :