SELANGOR

SKB usaha PKNS bantu kontraktor Bumiputera tingkat kualiti kerja

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 DIS : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menubuhkan Sub Kontraktor Bumiputera (SKB) bagi membantu kontraktor Bumiputera menambah pengalaman dan meningkat kualiti dalam bidang pembinaan.

Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, program itu adalah usaha PKNS dalam melahirkan sub-kontraktor Bumiputera bagi melaksanakan projek pembinaan dalam bidang kerja awam, elektrik atau landskap.

“Inisiatif ini diambil bertujuan memberi pengiktirafan kepada mereka yang akan memberi sumbangan dan berjasa kepada industri pembinaan sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan kontraktor Bumiputera.

“Sejak program ini diperkenalkan pada 2003, sebanyak 46 syarikat dilantik dengan nilai tawaran kerja sebanyak RM109 juta dalam pelbagai bidang kerja iaitu sivil, elektrikal dan landskap,” katanya dalam majlis penyampaian pentauliahan SKB di sini, semalam.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail menyampaikan pentauliahan itu kepada sembilan syarikat kontraktor Gred CIDB G1 hingga G5 dalam majlis berkenaan.

Siti Zubaidah berkata, banyak manfaat diperolehi apabila kontraktor mengikuti program SKB di mana antaranya syarikat berpeluang menyertai sebut harga projek PKNS di mana ia tidak disertai kontraktor luar.

“Saya berharap wujudnya program SKB, menjadikan PKNS sebagai salah satu platform berstruktur untuk meningkatkan kualiti dan kemahiran yang tinggi dalam kerja kontrak,” katanya.

 


Pengarang :