SELANGOR

Smart Selangor tumpu ekonomi dan sosial

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Pelaksanaan agenda Smart Selangor bukan inisiatif negeri pintar semata, tetapi merupakan Pelan Tindakan Ekonomi dan Sosial kepada rakyat Selangor khususnya.

Penasihat Dasar Ekonomi dan Korporat kepada Dato’ Menteri Besar, Dr Mohd Zulkifli Zakaria berkata, secara dasarnya, sinergi dan hubungan antara rakyat, negeri, industri dan teknologi membentuk agenda berkenaan.

Katanya, persekitaran perniagaan yang lancar akan menggalakkan pertumbuhan lebih tinggi dan perkongsian idea mengenai teknologi, inovasi serta perniagaan akan menawarkan penyelesaian lebih cekap kepada keperluan negara

“Sepanjang tahun lalu, Kerajaan Negeri dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berjaya membina budaya perkongsian pengetahuan dan kini, manfaat pula turut dikongsi.

“Justeru, komuniti perniagaan, kerajaan sama ada di peringkat negeri atau pusat, perlu berganding bahu menggalakkan inovasi diterokai sekali gus, memastikan Selangor terus membangunkan model yang lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum ‘Selangor Synergies’ di Hotel Saujana, di sini.

Mohd Zulkifli berkata, dalam pembentangan Belanjawan Negeri baru-baru ini, Kerajaan Negeri melalui agensinya akan memacu pelaksanaan strategi pembangunan baharu menerusi beberapa kluster.

Katanya, ia bagi memastikan masa hadapan Selangor terus makmur dari segi ekonomi, kesejahteraan sosial dan persekitaran.

“Menerusi forum ini, diharapkan semua pihak dapat menggunakan ruang berdialog dan bertukar pendapat.

“Saya juga berharap lebih ramai pakar dan pemain industri boleh bergabung dengan rangkaian ini supaya isu-isu boleh dikenalpasti serta mencari penyelesaian,” katanya.

Pada program itu, forum ‘Selangor Synergies’ kali ke lima itu menampilkan panelis antaranya Pengarah Urusan Central Spectrum, Dato’ Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Dato’ Mohamad Azlan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mutiara Teknologi, Puteri Mariana Abdul Majid.

Manakala Moderator, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBR Asia, Dato’ Beatrice Nirmala.


Pengarang :