SELANGOR

Speaker tegur ADN BN ponteng DNS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim menegur tindakan Ahli Dewan Negeri (ADN) yang gagal hadir pada sidang Belanjawan Negeri 2019, yang sedang berlangsung ketika ini.

Katanya, sepanjang sidang yang memasuki hari kesembilan, ADN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar dan ADN Sungai Burong, Dato’ Shamsuddin Lias tidak hadir tanpa memberikan notis kepada pejabat DNS.

“Sepanjang sidang berlangsung, kita dapati ADN Hulu Bernam hanya hadir untuk dua hari sahaja, itu pun tidak penuh dan ADN Sungai Burong pula tidak hadir selama lima hari.

“Seharusnya sebagai ADN, kita perlu bertanggungjawab memfokuskan sidang dewan kerana tugas utama ADN tidak kita pembangkang atau kerajaan adalah wajib mengutamakan tugas, lebih lagi persidangan DNS,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, kegagalan mmenghadirkan diri tanpa notis melanggar Peraturan Tetap dewan 79.

“Saya sebagai Speaker, tidak tahu mana mereka pergi. Jika uzur, sakit atau ke luar negeri maklumkan. Kalau sehari tidak apa, kalau banyak hari? Notis wajib dihantar,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan ADN supaya mengutamakan peranan sebagai wakil rakyat dan sentiasa berdisplin serta tidak mengabaikan tanggungjawab.

“Dato’ Menteri Besar, EXCO dan kakitangan kerajaan sedia dalam DNS untuk memberi jawapan, malahan daripada isu dibangkitkan, ini medan terbaik untuk memperjuangkan hak serta mengutarakan isu rakyat.

“Lihat Menteri Besar, walaupun sibuk tetapi beliau berdisplin hadir bersama kita, jadi rebutlah peluang terbaik demi kebajikan dan kepentingan rakyat,” katanya.


Pengarang :