NASIONAL

SPR isi kekosongan kerusi Cameron Highlands dalam 60 hari

PUTRAJAYA, 15 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengisi kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam tempoh 60 hari, mulai hari ini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata SPR telah menerima Perakuan Mahkamah di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah terbatal.

Beliau berkata sehingga tamat tempoh rayuan semalam, sepertimana ditetapkan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya, tiada sebarang rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan atau dimaklumkan kepada SPR.

“Selaras dengan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan ditentukan SPR mulai hari ini.

“Pemakluman secara rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Isnin nanti (ini),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azhar Azizan berkata SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tarikh mesyuarat tersebut akan dimaklumkan pihak SPR nanti,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain termasuk calon DAP M. Manogran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS – 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 Nov lepas, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi kerusi Parlimen itu, selepas mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh yang juga Naib Pengerusi MIC sebagai tidak sah dan terbatal akibat wujud amalan rasuah.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata beliau berpandangan pempetisyen, Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi.

Sivarraajh tidak mengemukakan rayuan kepada keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan beliau.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :