NASIONAL

Sudut bacaan di tempat awam bakal diwujud semarakkan budaya membaca

KLUANG, 15 DIS: Kementerian Pendidikan merancang mewujudkan sudut bacaan di tempat awam seperti di stesen minyak dan restoran makanan segera di negara ini bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata perbincangan dengan pemilik stesen minyak dan rangkaian restoran makanan segera akan dilakukan, namun ia masih di peringkat perancangan lagi.

Kata beliau, ia juga sebagai usaha pihak kementerian untuk menyokong kempen menjadikan Malaysia Negara Membaca menjelang tahun 2030.

“Orang ramai akan dapat memanfaatkan hentian rehat mereka di stesen-stesen minyak dan restoran makan segera ini, pengguna turut boleh memanfaatkan masa tersebut dengan membaca sekiranya sudut bacaan ini diwujudkan.

“Apa yang penting kita hendak menggalakkan dan menyemarakkan budaya membaca ini. Mungkin buat permulaan ini, restoran-restoran makanan segera di bawah Johor Corporation (JCorp) di Simpang Renggam ini boleh mulakan dahulu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jalinan Ukhuwah Sempena 50 Tahun Johor Corporation di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) yang turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Maszlee yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam itu, juga menggalakkan aktiviti mewakafkan bahan bacaan berkenaan sekiranya program yang dirancang ini berjaya dilaksanakan.

Khamis lepas, Maszlee berkata pihaknya menyasarkan 10 tahun bermula 2021 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan sebagai usaha menjadikan Malaysia Negara Membaca.

Dalam program yang sama, Maszlee menyatakan pihak kementerian berkenaan juga akan melakukan kerjasama dengan JCorp membina sebuah sekolah berasrama penuh di atas tanah milik anak syarikat JCorp, Kulim Plantation Sdn Bhd (Kulim) di Renggam.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :