SELANGOR

Suee Lim: Etika pemakaian Dewan Negeri sejak 1959

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 DIS: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim menempelak Ahli Dewan Negeri (ADN), Datuk Mohd Imran Tamrin yang mempersoalkan etika pemakaian ADN ketika bersidang.

Sebaliknya, beliau berkata, etika pemakaian itu adalah amalan dan tradisi sejak penubuhan DNS pada 1959.

Katanya, mengikut amalan berkenaan, kod pemakaian bagi ‘nombor satu’ adalah dipakai pada sesi perasmian manakala baju Melayu pada hari pembukaan.

“Selain itu, kod pemakaian ketika bersidang adalah ‘long suit’ gelap dan dibenarkan berbaju Melayu pada hari Jumaat.

“Saya menegur ADN Taman Templer, Mohd Sany Hamzah kerana gagal mematuhi etika pemakaian supaya lebih berdispilin.

“Saya faham jika ADN yang masih baru kurang memahami peraturan DNS, namun 14 hari atau 21 hari sebelum DNS bersidang, dalam surat jemputan sudah dinyatakan dengan jelas berhubung etika pemakaian,” katanya dalam sidang media di Lobi Anexe, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Suee Lim berkata, perkara itu boleh dibahaskan sekiranya Mohd Imran merasakan ia perlu diubah bagi mengikut keperluan semasa.

“Selepas berbahas kita boleh mengambil maklum hal itu dan seterusnya boleh bersidang dalam Jawatankuasa Peraturan Tetap,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengigatkan semua ADN supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan agama serta provokasi supaya tidak menimbulkan ketegangan kaum.

“Beliau peguam, sepatutnya tahu dan mengambil maklum perkara itu dan saya tidak menyentuh langsung akan kesucian DNS, boleh dengar ‘hansard’.

“Perkara ini jelas, Dato’ Menteri Besar, Exco atau Pegawai Kerajaan tahu perkara itu, tak kan beliau tak faham,” katanya.

Terdahulu, Mohd Imran mempersoalkan tindakan Suee Lim menegur ADN Taman Templer kerana memakai baju Melayu ketika sesi persidangan DNS, Selasa lalu.

Mohd Imran mempertahankan tindakan Mohd Sany dan mengatakan baju Melayu lengkap bersongkok dan bersampin tidak melanggar peraturan DNS serta mencemarkan kemuliaan dewan.


Pengarang :