BERITA UTAMASELANGOR

Sultan: Kekalkan hidup aman dan harmoni

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihati semua rakyat khususnya ahli politik supaya tidak mengambil kesempatan membangkitkan isu perkauman dan keagamaan demi kepentingan politik dan parti masing-masing.

Baginda bertitah inginkan rakyat terutama di Selangor dapat hidup dengan aman dan harmoni selain menasihatkan semua pihak menjaga perasaan antara kaum serta tidak mengeluarkan tutur kata menyakiti mana-mana pihak.

“Masyarakat seharusnya sedar bahawa isu berkaitan dengan kaum dan agama amat sensitif di kalangan masyarakat kita.

“Jika kita ingin memberi sesuatu pandangan perlulah dilakukan secara berhemah dan berperaturan tanpa perlu mempersoalkan apa yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah Sultan.

Baginda menzahirkan rasa dukacita terhadap peristiwa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya yang mengakibatkan kecederaan teruk berlaku kepada seorang anggota bomba dan penyelamat serta orang awam.

“Titah ucapan ini bukan bertujuan mencampuri urusan kerajaan namun sekadar memberi nasihat kepada semua pihak atas dasar tanggungjawab baginda sebagai seorang Raja yang mempunyai peranan di dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan.

“Janganlah kita rosakkan segala yang telah kita bina bersama selama ini dengan menimbulkan pelbagai kekeliruan dan syak wasangka di antara kaum dan fahaman agama yang wujud di dalam masyarakat kita.

“Untuk membina sebuah negara ianya memakan masa yang begitu lama untuk dibentuk seperti pepatah Inggeris menyatakan ‘Rome was not built in a day’ namun jika kita tidak berhati-hati dan bermusuhan antara satu sama lain, negara akan musnah dan hancur di dalam sekelip mata sahaja,” titah Sultan.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Jamuan Hi-Tea Diraja Sempena Menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-73 DYMM Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah.

Baginda menegaskan, sejarah pembentukan ‘kontrak sosial’ iaitu satu bentuk persetujuan dan persefahaman antara pelbagai kaum semasa pembentukan negara ketika mencapai kemerdekaan menyebabkan ia menjadi teras serta elemen terpenting yang tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Akibat tidak mengambil berat untuk mengetahui dan memahami tentang sejarah negara secara mendalam dan sejarah pembentukan kontrak sosial ini, maka timbul pelbagai isu dan syak wasangka antara kaum dan agama sejak kebelakangan ini yang telah sedikit sebanyak menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia,” titah baginda.

 


Pengarang :