SELANGOR

Sultan Selangor berangkat ke istiadat ziarah makam

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 10 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menziarahi makam kerabat diraja Selangor, di Makam DiRaja Klang, di sini.

Istiadat Ziarah Makam itu bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor kali ke-73 yang dijadualkan berlangsung esok.

Sultan Sharafuddin tiba di perkarangan makam berkenaan, pada jam 10.30 pagi.

Turut berangkat, kaum kerabat diRaja dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Istiadat dimulakan dengan majlis tahlil dan bacaan doa dipimpin Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Sultan Sharafuddin dilahirkan pada 11 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang (kini menjadi Kolej Islam Sultan Alam Shah) hasil pernikahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan Raja Nor Saidatul Ehsan Tengku Badar Shah.

Baginda adalah Sultan Selangor kesembilan yang memerintah negeri ini, sejak 22 November 2001 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.


Pengarang :