BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM7.503 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat daripada empat syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM7.503 juta, di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Syarikat terbabit adalah Kumpulan SIRIM Berhad, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), QSR Brands (M) Holdings Berhad dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd.

Kumpulan SIRIM Berhad diwakili Pengerusi merangkap Ketua Eksekutifnya, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani dengan jumlah zakat perniagaan bagi 2017 sebanyak RM2.308 juta, diikuti NAFAS sebanyak RM2.12 juta, bagi tahun kewangan 2016 yang diwakili Ketua Pentadbir, Razana Ghazali.

QSR Brands (M) Holdings Berhad pula menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 berjumlah RM1.81 juta yang diserahkan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, sementara Central Spectrum (M) Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Dato’ Mahmud Abbas menyerahkan zakat RM1.26 juta bagi tahun kewangan 2017.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Prof Dato’ Dr Aziuddin Ahmad.


Pengarang :