SELANGOR

#SunwaySoapful kitar semula sabun pelihara alam sekitar

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 5 DIS: Rangkaian Sunway Hotel dan Resort melancarkan kempen kesedaran #SunwaySoapful untuk mengitar semula sabun yang digunakan bagi manfaat alam sekitar.

Pengurus Kanan Serantau Sunway Hotel & Resort, Kelly Leong berkata, hal itu kerana sabun di hotel sering dibuang sahaja ke tempat pelupusan sampah, sedangkan ia masih boleh digunakan.

Katanya, sejumlah 1,000 bar sabun yang dikumpul sejak Julai lalu dikitar semula dan diserahkan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia (PKAYDEM).

“Kita komited mencari inisiatif memproses sabun supaya ia dapat digunakan kembali.

“Selain itu, kempen ini juga bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dan mengasah kemahiran, terutama anak yatim untuk mempelajari cara memproses sabun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sunway Soapful di Sunway Hotel & Resort di sini, hari ini.

Hadir mencemar duli merasmikan majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Katanya, sabun itu diambil dari lima hotel rangkaian Sunway antaranya Sunway Putra Hotel, Velocity Hotel, Sunway Hotel Georgetown, Sunway Hotel Seberang Jaya and The Banjaran Hotsprings Retreat.

Pada masa sama, katanya, anak yatim dari (PKAYDEM) turut diberi kemahiran mempelajari proses pembuatan sabun dengan kerjasama dari rakan strategik projek, iaitu Ecolab Sdn Bhd dan Kinder Soaps Sdn Bhd.

“Kita optimis kemahiran ini mampu menjana pendapatan mereka untuk menjalankan perniagaan pembuatan sabun, pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :