SELANGOR

Surat Ikatan Amanah lot tanah pertanian tidak sah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Semua permohonan Pendaftaran Surat Ikatan Amanah bagi lot tanah pertanian (lot lidi) atas semua alasan ditolak, berkuat kuasa 28 September lalu sehingga satu dasar berkaitan dirangka dan diluluskan Pihak Berkuasa Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penolakan itu akan terpakai di semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS).

Katanya, langkah sama turut diambil Pentadbiran Tanah Selangor untuk membasmi penipuan penjualan tanah lot, di negeri itu.

“Berdasarkan statistik kes penipuan urusan tanah yang dilaporkan, sebanyak 136 kes berlaku membabitkan urusniaga pindah milik tanah dari 2010 sehingga 30 September 2018.

“Mana-mana pihak yang didapati menjadi mangsa penipuan diminta untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa dan PDT serta PTGS,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, PTGS juga menggunakan kaedah biometrik melalui sistem SELAMAT dalam setiap urusan peryerahan urusniaga dan bukan urusniaga.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menjalankan kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Malaysia untuk menyemak Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) melalui sistem e-filing.

“Usaha ini dapat mencegah aktiviti penjualan lot tanah secara berleluasa tanpa mengikut syarat ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan atau Pihak Berkuasa Perancang.

“Selain itu, pelbagai medium digunakan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang awam melalui hebahan informasi berkenaan risiko pembelian lot tanah di media sosial seperti facebook dan portal rasmi jabatan.

“Hebahan ini turut dipanjangkan ke Majlis Peguam Selangor untuk makluman, malah khidmat nasihat berterusan juga diberikan kepada mereka yang hadir terus ke PDT dan PTGS,” katanya.

 


Pengarang :