AGAMASELANGOR

Surau perlukan sumbangan tampung kos pembinaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 DIS: Pihak pengurusan surau Al-Muhajirin, di Taman Sri Melor, Bandar Baru Bangi, di sini, memerlukan peruntukan dana keseluruhan sebanyak RM500,000 bagi menampung kos pembinaan surau baharu yang sedang dalam pembinaan.

Pengerusi surau, Mohamad Zulkefly Abd Ghani berkata, pembinaan itu bagi menggantikan surau sedia ada yang sudah tidak mampu menampung kepadatan jemaah ekoran pembinaan kawasan rumah teres dan kondominium Intana Ria kedua, di sekitar taman berkenaan.

Katanya, sehingga kini dijangka seramai 350 jemaah memerlukan surau baharu, berbanding 150 jemaah bagi surau lama.

“Pembinaan surau baharu ini untuk memberi keselesaan beribadat kepada ahli kariah, selain menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah.

“Tambah pula, kedudukan arah bangunan surau baharu ini adalah tepat mengadap kiblat jika dibandingkan dengan sebelumnya,” katanya.

Mohamad Zulkefly berkata, pembinaan surau berkeluasan 50×70 kaki per segi itu berkonsepkan seni bina surau sepenuhnya dan dijangka siap dalam tempoh empat bulan seandainya aliran kewangan sempurna.

Katanya, Ahli Jawatankuasa surau juga merancang supaya solat jumaat boleh diadakan di surau terbabit, seterusnya dapat menjalankan segala aktiviti surau dengan lancar, selesa dan teratur.

Difahamkan, Surau lama Al-Muhajirin dibina sejak 1997 secara bergotong-royong melalui kutipan derma ahli kariah Taman Sri Melor dan sumbangan perkakasan lama serta terpakai dari surau berhampiran.

Keluasan tapak pembinaan pula sekitar 0.7 hektar dengan keluasan pembinaan asal 30×40 kaki per segi.

Sehubungan itu, individu atau badan korporat yang ikhlas untuk menyumbang boleh disalurkan melalui akaun pembinaan Bank Islam 12029010020543 (Surau Al-Muhajirin) atau terus berhubung dengan Mohamad Zulkefly di talian 019-9902225 atau Setiausaha surau, Syed Abd Rani Syed A Rahman di talian 018-2660020.


Pengarang :