Kabel dasar laut perkukuh rangkaian hubungan di Malaysia.
NASIONAL

Syarikat telekomunikasi digesa tingkat prasarana luar bandar

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kerajaan mengesa syarikat telekomunikasi membina lebih banyak prasarana baharu termasuk rangkaian gentian optik dan menara komunikasi di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, ia bagi mencapai sasaran 98 peratus kawasan berpenduduk memperoleh purata kelajuan jalur lebar sehingga 30Mbps menjelang 2023.

Katanya, usaha itu menuntut komitmen semua pihak berkepentingan termasuk pemilik tanah, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Ia melibatkan perancangan teratur di peringkat kampung, daerah dan negeri bagi memastikan liputan perkhidmatan jalur lebar dapat diberikan kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya ketika sesi soalan lisan di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Fahariyah Md Nordin yang antaranya ingin tahu adakah kementerian menjajarkan semula Pelan Gentian Optik di luar bandar agar jalur lebar di kawasan itu mencapai kelajuan 30 Mbps.

Untuk rekod, sasaran itu diletakkan di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang diumumkan baru-baru ini.

Eddin Syazlee berkata, di bawah projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi, sebanyak 528 ibu sawat sedang dinaik taraf di seluruh negara yang dijangka siap pada 2019.

“Selain itu, kerajaan turut memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar di bawah inisiatif Peluasan Liputan Jalur Lebar Mudah Alih yang melibatkan pembinaan menara komunikasi baharu dan penaiktarafan menara komunikasi sedia ada.

“Sebanyak 1,769 menara komunikasi baharu siap dibina dan diaktifkan dengan perkhidmatan 2G dan 3G manakala 266 menara sedang dalam peringkat pelaksanaan di seluruh negara terutamanya di kawasan di luar bandar,” katanya.

Katanya, sebanyak 4,896 menara komunikasi sedia ada dinaik taraf kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih 3G/4G manakala 667 menara komunikasi sedia ada masih dalam peringkat penaiktarafan.

– BERNAMA


Pengarang :