NASIONAL

Tabung Harapan Malaysia cecah RM198.7 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 DIS: Sejumlah RM198,739,243.02 berjaya dikumpul Tabung Harapan Malaysia (THM), setakat jam 3 petang semalam.

Jumlah itu berjaya dikumpulkan sejak tabung berkenaan dilancarkan pada 30 Mei lalu dan dimaklumkan melalui laman twitter dan facebook Kementerian Kewangan.

Penubuhan tabung itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi membolehkan rakyat Malaysia menyumbang untuk membantu menangani masalah hutang negara yang kini lebih RM1 trilion.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka dalam bentuk wang ringgit menerusi akaun Maybank 5660 1062 6452.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, wang THM tiada kaitan dengan Belanjawan 2019.

Katanya, tabung berkenaan tidak mempunyai tujuan tertentu melainkan hanya membantu kerajaan menyelesaikan masalah hutang negara.

“Kerajaan akan gunakan duit berkenaan sebijak mungkin,” katanya.


Pengarang :