Selangor menguatkuasakan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainaan serta rekreasi.
NASIONAL

Tempat larangan merokok berkuatkuasa tengah malam ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 DIS: Berkuatkuasa mulai jam 12 tengah malam ini, semua premis makanan adalah diwartakan sebagai tempat larangan merokok, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan pewartaan itu dilaksanakan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) bertujuan melindungi orang awam, terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Katanya, orang ramai diminta untuk tidak merokok di semua tempat makan sama ada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin, termasuk di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran serta medan selera.

“Larangan ini juga meliputi semua gerai makan dan kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan kereta api.

“Pihak Kementerian Kesihatan sentiasa komited bagi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua pemilik dan pengusaha premis makanan supaya mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas selain mengambil langkah bagi memastikan tiada individu merokok dengan tidak menyediakan kemudahan seperti bekas abu rokok.

Katanya, mana-mana individu didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Bagi semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Sementara itu, bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga setahun,” katanya.

Oktober lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, cadangan terbabit sudah diluluskan di peringkat Parlimen dan akan berkuatkuasa tahun hadapan.


Pengarang :