Tiada lagi pemberian straw plastik secara automatik | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Zareef Muzammil

Tiada lagi pemberian straw plastik secara automatik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 DIS: Semua pemilik restoran dan premis makanan di seluruh Selangor tidak dibenarkan memberi straw plastik kepada pelanggan secara automatik, berkuat kuasa pada Januari tahun depan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, sebaliknya straw plastik diberi jika diminta oleh pelanggan sahaja dan mereka perlu mendapatkannya di kaunter.


Katanya, penekanan itu bertujuan mengurangkan penggunaan straw plastik konvensional yang boleh membawa kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Kita tidak melarang, sebaliknya masih membenarkan, cuma tidak disediakan secara automatik di kaunter bagi menggalakkan pengguna untuk membawa straw ‘stainless steel’ yang ada dijual di pasaran.

“Saya harap semua orang boleh mengambil inisiatif membeli dan membawa straw alternatif (besi) ini setiap kali datang ke kedai atau restoran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pengguna Bebas Plastik dan ‘Food Truck’ 2018, peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Dataran Kemerdekaan, Persiaran Bandaraya Seksyen 14, di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan berhubung penguatkuasaan larangan penggunaan straw minuman plastik yang berkuat kuasa ‪1 Januari 2020‬, ditujukan kepada peniaga atau pengusaha kedai makan yang merupakan pemegang lesen dan bukan orang ramai.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, larangan itu akan tertera dalam syarat lesen perniagaan mulai ‪1 Januari 2019‬.

Straw yang bukan daripada jenis plastik konvensional akan disediakan sebagai alternatif.

Dalam perkembangan berkaitan, Loy Sian turut menegaskan, inisiatif itu bukan bertujuan menyusahkan semua pihak, sebaliknya memberi kesedaran kepada rakyat khususnya di negeri ini untuk bersama menjaga alam sekitar.

“Saya yakin melalui pelaksanaan ini akan membawa impak positif demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan generasi pada masa hadapan.

“Justeru, masyarakat perlu menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk tidak menggunakan straw plastik mahupun beg plastik dan polisterina dalam urusan harian,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next