SELANGOR

Timbalan Speaker baharu diumum sebelum Mac

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 10 DIS: Kerusi Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) akan diisi pada Persidangan DNS pertama tahun hadapan yang dijangka diadakan Mac 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau akan mendapat persetujuan dengan kepimpinan parti peringkat negeri dan pusat sebelum memutuskannya.

“Mohd Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker pada Jumaat lalu selepas menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Speaker dan akan diisi pada hari pertama persidangan dewan bulan Mac ketika dewan mula bersidang nanti.

“Lama lagi, pada masa ini mimpi (calon) belum dapat lagi tetapi kalau ikut tradisinya ini memang kerusi KEADILAN dan saya harus mendapat persetujuan kepimpinan negeri dan juga pusat terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Balairung Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Ketika mengulas pembahagian portfolio, Amirudin berkata, Mohd Khairuddin akan menyandang portfolio Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan.

Sementara itu, portfolio Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam pula akan diterajui Amirudin sendiri.

“Saya hanya menambah Agama Islam dan Pendidikan di mana saya akan melantik seorang atau dua pembantu EXCO yang akan diumumkan nanti untuk membantu melaksanakan tugas dalam institusi agama Islam di Selangor kerana ia memerlukan kerap turun ke padang,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman hari ini mengangkat sumpah sebagai EXCO yang baru bagi menggantikan Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia, pada 2 Ogos lalu.


Pengarang :