GLOBAL

Top Glove berhasrat buka kilang di Turki

ISTANBUL – Pembuat sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd sedang mempertimbangkan hasrat membuka kilang di Turki yang telah mengimport 70 peratus daripada permintaannya bagi produk berkenaan daripada syarikat itu.

Pengasasnya, Tan Sri Lim Wee Chai berkata, beliau menyuarakan hasrat itu semasa bertemu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, pada 29 Disember lalu.

“Kami serius merancang untuk membuka sebuah kilang di Turki, Ia akan membantu mewujudkan antara 500 dan 1,000 peluang pekerjaan, keutamaan pada fikiran saya adalah peluang untuk menggaji pelarian Syria serta penduduk Turki,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan misi Tzu Chi.

Untuk rekod, Turki adalah pengimport sarung tangan keempat terbesar dunia selepas Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Brazil.

Top Glove memiliki operasi merangkumi Malaysia, Thailand, China, AS dan Eropah di samping menguasai 25 peratus bahagian pasaran dunia.

Syarikat itu mengeksport ke 195 negara bagi memenuhi permintaan dalam segmen penjagaan kesihatan dan bukan penjagaan kesihatan.

Beliau berpandangan, operasi di Turki akan memperkukuh kedudukan Top Glove di Eropah.

Terdahulu, Wee Chai bersama Pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan berada di sini bagi misi tiga hari untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria sebagai sukarelawan Yayasan Tzu Chi, bersama 23 sukarelawan lain.

Wee Chai, antara tokoh korporat terkemuka di Malaysia, menceritakan pengalamannya sebagai sukarelawan Tzu Chi untuk membawa kegembiraan kepada kehidupan pelarian di sini.

“Apabila saya memikirkan mengenai bencana alam dan perang seperti Syria, perang adalah 100 kali lebih buruk kerana rakyat hidup dalam ketakutan dan kemusnahan malah tanpa kemudahan asas selama 365 hari setahun sejak enam tahun lalu,” katanya.


Pengarang :