GLOBAL

Tsunami: BMKG Indonesia minta jauhi kawasan pantai

SERANG, 26 DIS: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) telah mengeluarkan satu amaran pada lewat Selasa malam bahawa fenomena tsunami Selat Sunda masih berlaku susulan gegaran berterusan di cerun Gunung Berapi Anak Krakatau, selain cuaca melampau di sekitar gunung berapi itu ketika ini.

Amaran itu didedahkan oleh Pengerusi BMKG, Dwikorita Karnawati, pada satu sidang akhbar di pejabatnya, lapor agensi berita China Xinhua.

Beliau berkata aktiviti gunung berapi yang kuat di Gunung Berapi Anak Krakatau, cuaca melampau dan ombak tinggi di Selat Sunda boleh menyebabkan satu lagi runtuhan di kawasan gunung berapi itu yang mungkin mengakibatkan satu lagi fenomena tsunami pada bila-bila masa apabila ia terhumban ke dalam laut.

“Adalah dikhuatiri bahawa ia mungkin berpotensi menyebabkan tsunami sama seperti hipotesis kami mengenai tsunami yang berlaku pada 22 Dis,” kata Dwikorita.

“Berdasarkan semua situasi itu, kami menggesa orang ramai sentiasa berjaga-jaga dan menjauhkan diri dari kawasan pantai sekurang-kurangnya dalam jarak 500 meter hingga 1 kilometer,” katanya.

Aplikasi mudah alih akan disediakan oleh BMKG bagi membolehkan orang ramai memantau aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau daripada gajet mereka, kata beliau.

Selain aplikasi yang diberi nama InfoBMKG dan MAGMA Indonesia, BMKG juga akan mengemas kini maklumat terkini berkaitan risiko tsunami yang berpunca daripada gunung berapi itu dalam akaun media sosialnya.

“Kami berharap orang ramai akan terus memantau perkembangan maklumat dalam hal ini. MAGMA Indonesia akan memberi amaran awal berkaitan tahap aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau,” kata beliau.

Penyediaan aplikasi mudah alih itu juga bertujuan memperbetul maklumat berikutan penularan maklumat palsu yang kerap di media sosial berkaitan fenomena tsunami Selat Sunda yang telah menyebabkan panik dalam kalangan orang ramai.

Aplikasi mudah alih itu disediakan terutamanya bagi memantau situasi kecemasan di Selat Sunda serta Gunung Berapi Anak Krakatau, dan tidak tertakluk kepada mana-mana kawasan lain di Indonesia, kata beliau.

Pasukan mencari Indonesia telah menemui sejumlah 429 mayat dari beberapa kawasan terjejas di wilayah Banten, Jawa dan wilayah Lampung di Sumatera setakat ini susulan fenomena tsunami yang disebabkan oleh aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau.

Bencana itu turut menyebabkan lebih 1,400 orang cedera, memusnahkan beratus-ratus rumah dan kapal serta menyebabkan lebih 16,000 orang hilang tempat tinggal.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :